Origins and Migration of the Malays atau Asal-usul dan Penghijrahan Orang-orang Melayu merupakan elektif yang saya telah mengikuti selama dua minggu ini. Saya mengaku bahawa elektif ini tidak sahaja meluaskan ilmu pengetahuan saya tetapi ia juga telah membuka minda saya untuk memikir di luar pemikiran lazim.
Contohnya, pada sesi pertama, kami disuruh oleh guru untuk memberikan definisi orang Melayu. Ramai antara kami memberi jawapan yang biasa -- seperti kulit coklat, mata bulat, rambut lebat dan beragama Islam. Namun, ada juga yang membangkang kerana mereka percaya bahawa seorang itu hanya dikatakan Melayu jika beliau boleh berbahasa Melayu dan mengikut adat resam Melayu – beliau tidak semestinya harus berkulit coklat dan sebagainya. Ini menjadi suatu perdebatan di dalam kelas, dan akhirnya kami sedar bahawa ia memang susah untuk memberi suatu definisi yang tepat!
Kami juga mempelajari sedikit tentang sejarah Melayu, termasuk watak-watak seperti Raja Haji, Raja Hamidah, Sri Tri Buana dan lain-lain lagi. Cikgu Elina juga telah mengemukakan 3 teori mengenai penghijrahan orang-orang Melayu. Ada ahli sejarah yang percaya bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan – iaitu teori pertama. Teori kedua pula mengatakan bahawa mereka berasal dari Taiwan sementara teori ketiga mengatakan mereka berasal dari Sumatra. Ramai ahli-ahli sejarah mempunyai pendapat yang berbeza, dan tiada siapa pun yang tahu teori mana benar. Pada pendapat saya, semua teori itu mungkin berkaitan.
Teori Penghijrahan 1 (Yunnan)
Selain itu, kami sekelas dibawa ke sebuah exhibisi yang bertajuk Aksara: The Passage of Malay Scripts/ Menjejaki Tulisan Melayu. Exhibisi itu terdapat banyak artifak seperti Prastasi Kota Kapur dan Manuskrip Tanjung Tanah. Exhibisi tersebut dibahagikan kepada empat balai – sebelum Islam, ketika kedatangan Islam, zaman penjajahan dan persuratan moden. Saya rasa ini dapat menunjukkan bagaimana kedatangan Islam dan kedatangan orang asing mempengaruhi tulisan-tulisan Melayu. Contohnya dengan kedatangan Islam, tulisan Jawi timbul akibat pengaruh bahasa Arab yang digunakan di dalam Quran.
Manuskrip Tanjung Tanah -- manuskrip tertua. Ia menggunakan aksara Kawi.
Prastasi Kota Kapur yang ditemui di Pulau Bangka, Sumatra.
Kami juga dikehendaki membentangkan tentang orang Melayu di kawasan-kawasan tertentu. Kumpulan saya – Dinie, Ashraf, Wei Xiang dan saya – diberi tugasan untuk membentangkan tentang orang Melayu di Sri Lanka dan Maldives.
Ketika membuat penyelidikan dan siasatan sendiri di internet dan buku-buku, saya telah jumpa banyak informasi tentang mereka dan sejarah mereka. Misalnya, orang Melayu tidak menghijrah ke Sri Lanka kerana mahu mencari pekerjaan atau kehidupan mewah, mereka telah dibawa ke sana oleh penjajah-penjajah Belanda sebagai askar-askar. Orang Maldives pula berpegang kuat kepada agama Islam akibat pendatang-pendatang Arab dahulu. Saya rasa informasi semua ini bukan sahaja dapat menambah ilmu saya, ia menarik juga!
Di Bintan
Sebab sekolah dan guru-guru amat murah hati, kami dibenarkan ke Bintan! Pada pendapat saya, ini bahagian elektif kegemaran saya. Pertama sekali, sewaktu di Pulau Penyengat, kita telah menziarahi beberapa makam orang-orang yang terkenal di dalam Sejarah Melayu:
Makam Raja Ali Haji dan Raja Hamidah
Kami juga dapat melihat masjid yang telah dibina menggunakan telur.
Akhir sekali, kami dapat menikmati air yang jernih dan manis dari sebuah perigi yang amat terkenal.
Selepas itu, kami semua berehat sebentar untuk makan tengah hari!
Walaupun kami penat, kami masih berusaha untuk ke kuil-kuil.
Hari keesokannya, kami dibawa pula ke SMU, sebuah sekolah di Tanjung Pinang. Mereka amat peramah! Kami dapat menduduki beberapa kelas dengan mereka dan juga dapat berinteraksi dengan mereka. Saya amat terkejut akan bezanya sistem persekolahan di Tanjung Pinang dan di Singapura. Mereka ke sekolah 6 hari seminggu dan memiliki berbelasan subjek – termasuk Perancis dan Jepun!
Persembahan yang mereka telah siapkan.
Namun, sedihnya kita harus meninggalkan mereka untuk ke kilang tempeh dan sotong.
Di kilang-kilang tersebut, kami dapat menyaksikan proses membuat sotong kering dan tempeh goreng.
Sekarang, saya tahu betapa banyak usaha digunakan untuk membuat makanan-makanan tersebut! Selama ini saya telah makan sahaja tanpa memikir usaha gigih yang diperlu untuk membuatnya. Jadi, sekarang saya akan lebih bersyukur(:
Pada hari ketiganya pula, kami hanya ke Ramayana untuk membeli-belah sebelum pulang ke Singapura (:
Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa elektif ini, walaupun agak berat tugasannya, amat berfaedah. Selain membuka minda saya, saya dapat banyak pengalaman baru serta teman-teman baru! Jika diberi peluang untuk ke Bintan lagi, saya tentu akan pergi!